Hari ini, rakyat mulai sedar bahawa mereka sebenarnya yang berkuasa, bukannya pak Menteri

Rasanya semua sudah tahu pasal result PRU14. Perdana Menteri baru pun sudah selamat angkat sumpah.

Tapi apa yang penting daripada PRU kali ini bukan pasal BN jatuh atau PH menang ataupun Mahathir buat comeback.

PRU kali ini bagi satu kepercayaan kepada rakyat biasa bahawa kuasa sebenarnya adalah pada tangan mereka. Sebelum ini mereka tidak percaya bahawa BN boleh tumbang kerana dengan segala jentera dan kapasiti yang mereka ada, mustahil mereka boleh tumbang.

Sampai ada satu mitos bahawa ‘BN adalah kerajaan dan kerajaan adalah BN’. Terdapat juga mitos kalau kerajaan bertukar tangan akan berlaku huru-hara dan kacau-bilau.

Alhamdulilah, semua itu tidak berlaku. Walaupun dengan persempadanan semula, hari mengundi dibuat pada hari bekerja, tapi bila jumlah pengundi yang keluar hampir 80%, semua itu sudah tidak memberikan sebarang kesan. Gelombang terlampau besar.

Bayangkan barisan yang beratur mahu mengundi itu panjang gila, tiket bas habis dan leburaya sesak teruk macam balik raya.

Malah ada sahabat saya yang bekerja di Brunei, balik dengan menaiki pesawat sampai Selasa malam, lepas itu balik Terengganu untuk mengundi. Selepas mengundi terus balik KL untuk menaiki pesawat pulang ke Brunei pada subuh Khamis itu. Sampai Brunei pagi Khamis masuk kerja balik dan ramai yang melakukan seperti itu.

Sebab mereka ingin suarakan sesuatu. Mereka ingin lihat sesuatu. Jatuhnya BN bukan sebab mereka sangat teruk secara total. Masih ramai lagi di dalam sana yang bagus. Naiknya PH bukan kerana mereka bagus sangat. Mereka juga akan buat silap. Itu pasti. Sebab mereka pun manusia.

Tapi jatuhnya BN sebenarnya untuk mereka muhasabah diri. Barangkali kerana telah terlalu lama berkuasa. Naiknya PH untuk mereka buktikan bahawa mereka boleh kotakan apa yang mereka janji. Bukan setakat retorik saja.

Rakyat mahu kerajaan yang cakna pada suara rakyat. Rakyat tidak mahu kerajaan yang sombong yang selalu merendahkan pemikiran rakyat, yang selalu bagi kenyataan mengguris hati rakyat.

“Tak suka tol jangan lalu highway,”

“Harga barang mahal, tanam sayur sendiri,”

“GST akan turunkan harga barang,”

“Tak suka cara kami, boleh keluar dari Malaysia!”

Seriously, ini bukan apa yang kami rakyat harapkan bila kami letak anda semua di atas. Bila ada masalah atau ujian negara, kita hadapi sama-sama. Letakkan orang yang betul di dalam bidangnya untuk bersama-sama fikirkan solusinya.

Pada hari ini, rakyat telah sedar bahawa mereka sebenarnya yang berkuasa dan politikus juga perlu lebih berhati-hati dalam perkataan dan keputusan mereka selepas ini.

Sebab mereka tahu kerja mereka akan dinilai setiap 5 tahun. Mereka perlu buktikan mereka boleh tunaikan. Kalau mereka buat benda-benda mengarut, bersedialah pula untuk ditendang oleh rakyat di dalam pilihanraya seterusnya.

Rakyat sudah sedar dan telah melalui proses pertukaran kerajaan, pasti proses ini akan berlaku lagi selepas ini. The first one is always the hardest one.

Pemenang sebenar adalah rakyat. Sebab demokrasi sebenar adalah ‘daripada rakyat untuk rakyat’.

Sekarang masa untuk move on dan kembali bekerja membangunkan negara bertuah ini. Tidak kiralah kita bangsa apa, tidak kira kita dari negeri mana, tidak kiralah kita parti politik apa, kita semua adalah warga Malaysia.

Semoga kita semua terus sejahtera. Dirgahayu tanah airku!

Sumber : Fakhrul Hakim

Kredit: Ohmymedia

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *